Saturday, April 11, 2009

IMTIHAN @ EXAMINATION @ PEPERIKSAAN


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwah.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menadahkan tangan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara segar di Perbukitan Ilmu UKM dan meneruskan sisa-sisa kehidupan yang penuh berharga ini.

Sesungguhnya setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian adalah merupakan mehnah dan ujian yang diberikan Sang Pencipta kepada kita sebagai hambanya bertujuan untuk menduga sejauh mana keyakinan dan keimanan kita terhadap Allah Taala. Melalui ujian inilah kita dapat menilai dan muhasabah diri (korepsi) terhadap amalan seharian kita. Begitu juga dalam soal pembelajaran dan proses menuntut ilmu, tanpa ujian, kiita tidak akan tahu setakat mana kebolehan dan penguasaan kita terhadap ilmu yang dipelajari sepanjang berada di alam pengajian.

Mahasiswa/I yang dirahmati Allah sekalian,

Hampir satu semester sudah proses pengajian semester ini berlangsung. Kini tibalah masa unutk kita menempuhi musim yang sinonim dalam diari seorang pelajar iaitu peperiksaan. Pada masa inilah kita akan mencurahkan dan meluahkan segala ilmu yang dipelajari dalam dewan kuliah dan tutorial melalui pena yang dipandui Iman dan Akal. Manfaatkan minggu cuti ulangkaji yng diberikan untuk mengulangkaji pelajaran sebaik mungkin. Letakkanlan kebergantungan kita kepada Allah melebihi segala-galanya. Lakukanlah amalan-amalan yang mensucikan diri dan menenangkan jiwa agar jiwa kita tidak bercelaru akibat tekanan belajar seperti amalan Qiamullail dan perbanyakkanlah solat hajat serta munajat kepada Sang Pencipta memohon pertolongan daripada-Nya dan ingatlah bahawa perancangan Sang Pencipta itu melangkaui segala-galanya.

Ambillah masa yang ada berbaki sebelum hari peperiksaan ini untuk memohon keampunan kepada kedua ibu bapa dan mendapatkan restu serta keredhaan mereka dalam kehidupan kita kerana redha Allah adalah melalui redha kedua ibu bapa. Jangan sesekali kita semua lupa rumus terpenting iaitu (2+4+4+3+4) ditambah dengan rumus USAHA + DOA + TAWAKKAL = KEJAYAAN .

Selamat Berjuang Sahabatku. Salam Mujahadah, Salam Imtihan Bittaufiq Wannajah.
ILMU* IMAN* AMAL

No comments: